Saturday, October 17, 2009

Permata kesukaan ku (Batu Delima)


Sejak kebelakangan ni aku suka pulak melihat batu cincin dikedai permata, Makin dilihat makin membuak2 keinginan untuk membelinya walaupun aku sudah ada banyak cincin. Ha! yg paling aku suka ialah batu delima merah (Ruby). Keindahannya pada diri aku tak dapat aku katakan. Kepada sesiapa yg baru nak menceburi alam batu permata ni eloklah banyak2 berjalan (surf) diInternet ni, bak kata pepatah "jauh berjalan luas pengalaman". Disini ingin aku kongsi ngan korang semua tentang batu delima merah, Iyanya ditulis oleh saudara Mohd Ramesh. Dari rampaiseri.wordpress.com .


Ikuti kisahnya disini:-
BATU delima adalah antara batu permata yang paling berharga di dunia sejak beribu-ribu tahun lalu.

Malah tarikannya terhadap umat manusia telah menjadikannya dianggap sebagai `raja segala permata.’ Menurut kitab Injil, batu delima adalah permata yang paling berharga semasa Tuhan mencipta 12 permata lain di dunia.

Dalam bahasa purba Sanskrit pula, batu delima dikenali sebagai ratnaraj (raja batu permata) atau ratnanayaka yang bermakna penghulu segala permata.

Sesungguhnya, sehingga hari ini, batu-batu delima adalah lebih berharga dan bernilai berbanding intan tanpa berwarna yang tinggi kualitinya.

Contohnya, sebutir cincin berbatu delima Myanmar seberat 27.37 karat, dijual pada harga AS$4 juta (RM15.2 juta) oleh syarikat pelelong terkenal Sotheby’s di Geneva pada Mei 1995, iaitu kira-kira AS$146,145 (RM555,351) bagi setiap karat.

Manakala sebiji berlian bersaiz buah pir, seberat 102 karat hanya mendapat harga AS$125,000 (RM475,000) sahaja.

Sumber batu delima yang paling terkenal ialah di Myanmar, di mana lombong-lombong delimanya dikatakan adalah lebih tua dari sejarah tamadun manusia sendiri. Ini kerana peralatan perlombongan dari Zaman Purba Batu dan Zaman Purba Gangsa telah dijumpai di sini.

Oleh sebab itu, semasa penulis berkesempatan membuat lawatan ringkas ke negara itu baru-baru ini, penulis tidak melepaskan peluang untuk membeli beberapa butir batu permata tersebut yang dijual pada harga yang agak murah.

Delima-delima ini kebanyakannya adalah dari kawasan dinamakan Mogok, yang terkenal dengan batu-batu delimanya yang berwarna merah pekat ibarat “darah merpati” sejak zaman dahulu lagi.

Tetapi untuk berkunjung ke Mogok adalah sesuatu yang agak sukar kerana bukan sahaja perjalanannya sangat jauh di utara Myanmar, sistem pengangkutan serta jalan raya di sini jauh ketinggalan serta mundur.

Penulis yang hanya berada di sini beberapa hari sahaja sempat juga mendapatkan sedikit sebanyak maklumat serta petua membeli delima daripada seorang peniaga batu permata tempatan bernama Mohamad Idris yang menjalankan perniagaannya di Scott Market, Yangon.

Selain delima darah merpati, Myanmar juga mengeluarkan batu-batu delima berwarna merah jambu yang juga tidak kurang cantiknya selain turut mempunyai permintaan yang tinggi di seluruh dunia.

Antara ciri utama delima Myanmar ialah sifat fluorescencenya apabila didedahkan kepada sinaran ultraungu seperti cahaya matahari yang memberikannya seolah-olah satu lapisan warna tambahan.

Selain itu batu-batu delima Myanmar memang diketahui mampu mengekalkan warna merahnya yang pekat itu dalam apa jua keadaan cahaya.

Sebenarnya, batu delima dan nilam terdiri daripada jenis galian yang sama iaitu corundum, cuma perbezaannya ialah yang berwarna merah dipanggil delima dan yang biru adalah nilam.

Untuk mencari delima yang baik, beberapa ciri utama harus diteliti. Yang pertama sekali ialah ia mestilah seberapa merah yang boleh anda bayangkan, tanpa sebarang bayangan warna lain seperti biru atau perang. Pendeknya, inilah ciri yang paling penting untuk menilai batu delima.

Malah, warna merah dalam bahasa Inggeris iaitu red dikatakan berasal dari perkataan Latin ruber yang bermaksud ruby atau delima. Nama-nama yang hampir sama juga digunakan oleh bahasa-bahasa Parsi, Hebrew dan Sanskrit.

Mohamad Idris, yang pernah bekerja di Malaysia serta boleh bertutur dalam bahasa Melayu dengan baik memberitahu bahawa kepekatan warnanya mestilah seakan-akan bara api arang batu.

Mungkin disebabkan sifatnya inilah, nenek moyang kita dahulu kerap menghubungkaitkan delima dengan kuasa-kuasa mistik.

Selain warnanya, faktor lain yang mempengaruhi kualitinya ialah kejernihan, potongan serta saiznya.

Delima yang dipotong dengan baik harus mampu membalikkan cahaya dengan sekata pada seluruh permukaannya.

Kadangkala, batu-batu delima juga mampu membalikkan cahaya dalam bentuk bintang berkaki tiga atau enam dari permukaannya yang dipotong rata membulat seperti kubah.

`Bintang’ ini akan kelihatan dengan mudah hanya dengan sinaran dari satu sumber cahaya sahaja dan akan bergerak merentasi permukaannya mengikut cahaya itu.

Batu-batu delima yang mempunyai sifat ini dinamakan `delima bintang.’ Lebih panjang dan lebih lurus keenam-enam kaki bintang itu, lebih mahal harganya.

Seperti kebanyakan batu permata berharga lain, delima dijual mengikut berat atau karat yang bersamaan dengan satu perlima daripada satu gram. Oleh itu, delima yang besar adalah lebih mahal berbanding yang kecil kerana besar saiznya semakin jarang ia ditemui.

Selain Myanmar, batu-batu delima juga boleh diperoleh dari Thailand, Vietnam, Sri Lanka, Tanzania, Kenya, Pakistan dan Afghanistan. Namun jumlah serta kualitinya dikatakan adalah lebih rendah daripada delima yang dikeluarkan di kawasan Mogok, Myanmar itu.

Sekiranya anda berpeluang ke negara Myanmar yang masih penuh rahsia ini, pastikan anda membawa pulang cenderahati wajibnya iaitu batu-batu delimanya yang diakui dunia sebagai tiada tandingannya sejak zaman-berzaman


2 comments:

  1. Batu drlima columbia lrbih baik kualitinya drp delima mnyanmar sbb kejernihannya...kata peniaga batu arab

    ReplyDelete
  2. Columbia terkenal dengan zamrud (emerald) dan bukannya delima (ruby)

    ReplyDelete